May 29, 2023 - FASPerjalanan Yoodo Red Giants di pentas MPL MY Musim ke-11 telah berakhir pada penghujung April yang lalu. Sebagai pesaing baharu yang melakukan penampilan sulung di pentas terbesar itu, banyak pengalaman berharga yang dapat dikecapi.
Pasukan Yoodo Red Giants secara rasminya ditubuhkan pada 19 Januari 2023, yang diumumkan sendiri oleh Pengerusi Selangor FC, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam, sekaligus menandatangani perjanjian dengan rakan kolaborasi rasmi iaitu Yoodo sebagai ‘Official Digital Telco’ dan juga Protech sebagai “Official Kit Partner’.
Pengumuman ini juga menjadi sebuah sejarah baru kerana pasukan Selangor FC menjadi pasukan bola sepak tempatan pertama yang memasuki dunia E-sukan khususnya permainan ‘Mobile Legends’.
Sebagai imbasan untuk pencapaian pasukan Gergasi Merah ini di pentas MPL MY musim ke-11, pasukan ini berjaya menduduki tangga ke-4 bagi saingan di ‘regular season’. Walaupun mendapat banyak kritikan negatif terhadap persembahan yang tidak konsisten pasukan Gergasi Merah, namun mentaliti dan semangat para pemain bukan sahaja berjaya melayakkan pasukan ke saingan ‘Playoffs’, malah turut menempah tiket ke ‘Upper Bracket Quarter-Finals’. Sebagai debut di pentas terbesar ini, mereka menamatkan perjuangan di tempat ke 5/6 pada peringkat ‘Playoffs’ setelah tunduk (2-1) kepada pasukan Lunatix.
Untuk statistik penuh pasukan, Yoodo Red Giants berada pada ranking ke-6 berdasarkan jumlah ‘Kills’ di antara 10 pasukan yang bertanding. Pemain yang berada di posisi ‘Gold Lane’ iaitu Syf antara penyumbang ‘Kill’ terbesar dalam pasukan iaitu sebanyak 111 jumlah ‘Kill’. Manakala pemain yang berstatus pinjaman yang bermain diposisi ‘Roamer’ iaitu Xorn menduduki ranking pertama bagi jumlah Kills/Deaths/Assists (KDA) tertinggi di antara 71 jumlah pemain yang bertanding.
Selain itu, pasukan Yoodo Red Giants juga tersenarai bagi 3 kategori anugerah daripada MPL MY untuk musim ini. Antaranya ialah Jurulatih pasukan iaitu Ozoraveki tersenarai antara 3 coach terbaik, pemain muda iaitu Gojes sebagai ‘Best Rookie’ dan penyokong yang digelar Gergasi Merah sebagai ‘Fan Club of The Season’.
Debut Gojes di pentas MPL MY sebagai pemain di posisi ‘Exp Laner’ berjaya mencipta pencapaian peribadi apabila dinobatkan sebagai ‘Best Rookie of The Season’. Kelebihan beliau yang mempunyai ‘hero pool’ yang besar dan corak permainan yang cukup mantap di posisi Exp Laner menjadikan beliau antara pemain baru terbaik bagi musim ke-11 ini.
Secara kesimpulan, prestasi pasukan amat positif bagi debut di pentas terbesar ini walaupun dikatakan ‘lambat panas’. Namun, pengalaman bagi musim ini sejujurnya akan mematangkan para pemain dan diharapkan agar para penyokong terus setia menyokong kerana perancangan pasukan telah dibentuk untuk saingan pada musim hadapan.
Demi Kebanggaan!